Monday 26 March 2012

TUNBUHAN SAKA




Tumbuhan saka ialah tumbuhan yang hidup lebih dari dua tahun. Istilah ini digunakan bagi membezakan antara tumbuhan yang hidup semusim dan dwimusim. Kadang-kala istilah ini disalah anggap oleh sesetengah pekebun atau ahli hortikultur merujuk sebagai khusus kepada tumbuhan herba saka. Untuk lebih tepat, tumbuhan berkayu seperti pokok renek dan pokok juga merupakan tumbuhan saka.
Bagi negara beriklim sederhana, pertumbuhan pokok saka berlaku pada musim bunga dan musim panas. Kemudian ia akan meluruhkan dedaunnya pada musim luruh bersedia untuk ke musim sejuk. Pada masa ini ia kekal dorman. Ia kemudian tumbuh kembali pada musim bunga dan kitaran ini berlaku setiap tahun. Ini berlainan dengan pokok saka di kawasan beriklim tropika yang mana ia kekal hidup sepanjang tahun tanpa meluruhkan dedaun.
Simbol untuk tumbuhan saka berdasarkan Species Plantarum oleh Linnaeus ialah (dalam astronomi ia juga adalah simbol untuk planet Jupiter)

Kategori tumbuhan saka

Walaupun begitu, tumbuhan saka boleh dipecahkan lagi kepada dua kategori dalamnya iaitu tumbuhan herba saka dan tumbuhan berkayu saka.

Tumbuhan herba saka

Tumbuhan herba saka mempunyai jangka hidup yang panjang di antara sepuluh hingga dua puluh tahun, atau mungkin lebih lagi, bergantung kepada spesis dan keadaan. Ia menghasilkan pertumbuhan baru setiap tahun, dan mengekalkan ketinggian dan ukur lilit maksimum semasa musim pertumbuhan. Kemudian pada setiap hujung musim tersebut ia mati kembali di atas tanah. Proses ini berulang setiap tahun dengan pertumbuhan pada awal musim seterusnya (dan musim berikut lagi), dijana oleh pemakanan dari organ simpanan bawah tanah. Antara contoh tumbuhan herba saka ialah:-

Tumbuhan berkayu saka

Contoh tumbuhan berkayu saka ialah:-
  1. Pokok Cempaka Putih
  2. Pokok Dedap
  3. Pokok Kasai
  4. Pokok Pondokarpus
  5. Pokok Pulai
  6. Pokok Tembusu
  7. Pokok Tulang Daing

 Kitaran hidup

Tumbuhan saka boleh hidup sementara (beberapa tahun) atau hidup lama seperti pokok kayu yang boleh hidup sehingga lrbih dari 4,000 tahun. Ia boleh berbeza dari ketinggian beberapa milimeter sehinggalah 100 meter tinggi. Ini termasuklah pelbagai jenis kumpulan dari paku-pakis dan lumut hati sehinggalah tumbuhan berpangkat tinggi seperti orkid dan rumput.
Tumbuhan yang berbunga dan berbuah hanya sekali dan kemudiannya mati digelar monokarpa. Walaupun begitu, kebanyakan tumbuhan saka ialah polikarpa iaitu berbunga dalam banyak musim sepanjang ia hidup.

Sunday 25 March 2012

PENGGUNAAN DAN PENJAGAAN TANAMAN DALAM PASU

 
 
MEWUJUDKAN taman berpasu sebagai langkah mudah untuk mendapatkan taman idaman dalam kawasan terhad. Ia mudah ditanam, dijaga dan dialihkan terutama bagi mereka yang cepat berubah cita rasa dan mood.

Ia seharusnya bermula dengan mengumpul beberapa set dekoratif dan pokok berbunga sebagai langkah awal membina taman berpasu ini.

  • Elak guna pasu yang mempunyai muncung mulut yang sempit kerana akan menyukarkan aktiviti menanam, membaja dan menyiram.
  • Bagi kesan tanaman lebih subur dan cantik, pasu seramik polos adalah antara pilihan bijak dengan dilengkapi beberapa lubang kecil. Pasu plastik menyerap masuk pancaran matahari manakala pasu terracotta (tanah liat) menyebabkan kadar serapan air keluar lebih cepat.
  • Bagi yang sedia ada memiliki sebuah taman atau koleksi pokok pasuan, pasu berwarna sangat menarik.
  • Pokok pasuan bukan saja terhad pada pasu jenis terracotta berbentuk bulat. Jika kreatif, dalam penggunaan barangan kitar semula seperti tab mandi lama juga boleh digunakan menggantikan pasu jenis itu.
  • Perhatikan penggunaan pokok dan pasu yang bersesuaian. Saiz pasu yang kecil akan mengehadkan kadar pertumbuhan dan sebaran akar seterusnya tidak tahan lama. Pokok yang mempunyai akar serabut memerlukan pasu besar dan tinggi.
  • Berhati-hati menggunakan pasu kayu atau rotan kerana cepat reput dan tidak tahan lama. Gunakan kayu kalis air dan tahan cahaya matahari serta tidak perlu kaedah varnis kerana kandungan kimia akan merosakkan pokok.
  • Kelebihan menggunakan pasu kayu ialah boleh dibentuk dalam pelbagai saiz dan bentuk sesuai mengikut lokasi keadaan.
  • Amalkan menggunakan pecahan pasu terracotta atau carikkan helaian surat khabar sebagai asas dasar pasu sebelum memasukkan tanah bagi mengelakkan aliran tanah keluar melalui ce-lah lubang.
  • Bagi pokok yang tahan cahaya matahari, gunakan pasu yang berwarna cerah bagi mengurangkan serapan haba dan pertumbuhan yang berlebihan.
  • Amalkan meletak pokok pasuan di atas kayu atau pelapik batu bagi ruang laluan air dan pertumbuhan akar lebih selesa.
  • PENJAGAAN RUMPUT TAMAN/HIASAN



    RUMPUT, kehadirannya adalah asas permulaan sesebuah taman. Hamparan rumput yang kemas mampu membuatkan taman biasa ­kelihatan hebat.
    Sebuah taman yang indah sekali pun pasti kehilangan serinya apabila rumput tidak dijaga. Penggunaan rumput hiasan penting bagi pembentukan ­sesebuah taman.

    Menanam rumput hiasan memerlukan skima penanaman dan penjagaan rapi. Terdapat beberapa jenis rumput di Malaysia antaranya zoysia matrella, philipine grass, zoysia tenuifolia dan pearl grass.

    Cara menanam rumput seperti berikut



  • Sediakan kawasan penanaman dengan menggemburkan dan membersihkan tanah dari bahan tidak diingini seperti serpihan batu, kayu dan sampah menggunakan penggembur tanah atau cangkul.
  • Dapatkan aras tanah yang sama dan rata sebulan sebelum memulakan aktiviti penanaman rumput bagi memastikan pertumbuhannya berlangsung dalam keadaan baik dan rata.
  • Bahagi rumput kepada bahagian lebih kecil dan cuba dapatkan akar yang tidak berserabut.
  • Mulakan kerja menanam dengan jarak 20 sentimeter setiap satu kepingan. Semakin jauh jarak semakin lambat proses penyebaran pertumbuhan rumput.
  • Siram air sebaik kerja penanaman selesai dan teruskan menyiram sekerap yang mungkin bagi bulan pertama.
  • Cuba elak memijak rumput yang baru ditanam dalam tempoh beberapa bulan bagi mengelakkan ia mati.
  • Tuesday 20 March 2012

    PEMILIHAN TUMBUHAN LANSKAP

    SEMAKIN ramai suka menghias rumah dengan pokok hiasan segar. Ini tabiat yang baik kerana aktiviti menanam pokok bukan saja mampu menghilangkan tekanan, malah ia juga dapat menyemai rasa cinta kepada alam sekitar.
    Sebagai permulaan anda boleh membeli pokok hiasan. Jika baru hendak memulakan hobi ini, sebaiknya pilihlah pokok yang mudah dijaga, tahan lasak dan cepat membesar.

    Pastikan pokok yang dibeli sihat iaitu bebas dari sebarang penyakit dengan melihat ciri berikut:

  • Lihat keseluruhan pokok, adakah warnanya sekata dan tampak segar;
  • Pastikan ada banyak tunas baru;
  • Periksa tanah yang ada dalam pasu, adakah ia lembap, kering atau terlalu kering hingga terdapat rekahan kecil. Jika tanah terlalu kering, pilih pasu lain. Tanah terlalu kering tidak dapat memegang air dengan baik walaupun disiram. Siraman tidak dapat mengembalikan komposisi tanah yang asal;
  • Periksa adakah akarnya tertanam sempurna;
  • Tidak perlu membeli pokok hiasan dalam pasu (walaupun memudahkan anda) yang biasanya lebih mahal berbanding pokok dalam polibeg;
  • Pilih saiz pasu sesuai dengan ketinggian pokok dan pindahkan pokok dalam polibeg ke dalam pasu;
  • Caranya, bersihkan pasu, tutup lubang air pada pasu dengan meletakkan ketul batu atau serpihan pasu supaya tanah tidak keluar;
  • Masukkan tanah hingga memenuhi satu per empat daripada ketinggian pasu. Taburkan baja dan gaul dengan tanah ;
  • Kemudian masukkan pokok yang paling tinggi di bahagian tengah. Tanam pokok yang lebih kecil mengelilinginya. Gunakan jari untuk menggemburkan tanah pada bahagian akar;
  • Tambah tanah hingga penuh atau sekurang-kurangnya dua sentimeter dari permukaan pasu. Siram -perlahan-lahan dan biarkan air menyerap hingga ke lapisan bawah;
  • Jangan lupa beli piring alas pasu untuk mengelakkan air daripada membasahi rumah anda. Atau untuk lebih cantik, beli pasu hiasan yang lebih besar dan masukkan pasu asal di dalamnya; dan
  • Jika mahu menggunakan semula pasu lama, pastikan ia dibersihkan dulu. Berus dan kikis semua tanah yang melekat pada pasu. Basuh pasu dengan air sabun hingga bersih dan biarkan ia kering dengan menjemur secara telangkup sebelum digunakan. Ia bertujuan menghalang bakteria, telur serangga perosak daripada berpindah dan menyerang pokok baru.
  • ASPEK ASAS PEMBINAAN TAMAN LASKAP

    TAMAN yang indah tampil dalam pelbagai bentuk dan saiz serta mempunyai personaliti tersendiri.

    Menilai sebuah taman seperti menilai hasil seni tinggi. Bagi membantu mewujudkan taman impian, diberikan beberapa panduan asas:

    Keluasan


  • Ia adalah asas penting bagi pembentukan sebuah taman. Warna dan tekstur akan datang dan pergi mengikut musim tetapi apabila menentukan keluasan dan mula membentuk taman, ia tidak mudah untuk diubah lagi.
  • Sentiasa perhatikan ruang dan persekitaran kediaman serta kawasan taman berdekatan untuk dijadikan panduan.

    Sebuah taman herba sangat ideal bagi kediaman kecil tetapi pastinya janggal bagi sebuah rumah teres yang mempunyai kawasan sangat luas.

    Tekstur
  • Ia memberi bentuk dan kesan mendalam bagi sebuah taman. Tanaman berdaun yang bertekstur halus seperti paku-pakis atau ati-ati pastinya menggamit tetamu untuk mendekatinya.
  • Bagi menghidupkan kombinasi di taman, tanaman berdaun runcing dan rumput hiasan adalah cara terbaik tetapi jika terlalu banyak pokok yang mempunyai tekstur sama, ia pasti membosankan.

    Kesan bunyi
  • Kesan bunyi di taman antara elemen penting yang sering diabaikan. Jika ia dimasukkan dalam taman, hasilnya pasti memuaskan.
  • Fikirkan apa yang lebih praktikal sama ada menanam tumbuhan renek merimbun atau membuat binaan air terjun sebagai terapi tetapi keselamatan jangan diabaikan.

    Struktur
  • Ia bukan melambangkan binaan atau hiasan saja tetapi secara keseluruhan merangkumi laluan, dinding, pokok besar, atau elemen lain yang membentuk taman.
  • Struktur ini menentukan keluasan taman dan bertindak sebagai penanda arah kawasan persekitaran .
  • Struktur boleh juga dikategorikan sebagai hiasan pengindahan taman seperti pergola, bangku dan patung.

    ragam penyusunan ini menentukan suasana taman sama ada penuh dengan kedamaian atau tidak.

    Warna
  • Faktor ini juga penting bagi mewujudkan sebuah taman yang tidak hambar.

    Lakukan sedikit eksperimen bagi menentukan apa disukai. Mungkin boleh mencuba pelbagai warna di kawasan berlainan.
  • Fikirkan juga aspek warna pada daun, batang pokok, dan buah-buahan yang tidak bermusim selain warna pada hiasan taman.

    Pencahayaan
  • Boleh dihasilkan secara semula jadi atau buatan. Perhatikan pergerakan cahaya matahari. Kedudukan tanaman, struktur dan lampu mempengaruhi pembentukan sebuah taman itu. Anda mungkin berasakan tidak perlu untuk menyediakan lampu taman, kerana jarang ke situ pada waktu malam tetapi sebenarnya jika mempunyai cahaya di situ ia pastinya menarik untuk mendapatkan ketenangan.
  • Cuba praktikkan penggunaan sumber cahaya dengan sepenuhnya seperti lilin, unggun api, lampu taman, atau cahaya semula jadi seperti matahari dan bulan.
  • ELEMEN BATUAN MEMBERI PERANAN PENTING KEPADA LANSKAP TAMAN



    BATU, elemen semula jadi yang wujud sejak dulu tidak dinafikan berperanan besar dalam kehidupan. Kini, penggunaan batu semakin meluas dan menjadi elemen hiasan penyeri taman serta landskap buatan.

    Sama ada konsep Jepun atau Zen, Bali, Tropika, moden dan juga kontemporari, batu menjadi penting pelengkap kepada konsep berkenaan. Menghiasi taman menggunakan batu sudah menjadi sebagai satu ikutan masyarakat bandar.

    Selain berupaya menjadikan taman cantik, batu juga adalah bahan yang tahan lama, kuat, senang diselenggarakan dan tampak lebih semula jadi. Justeru, tidak hairan jika ia penting dalam seni taman.

    Batu boleh dijadikan pelbagai fungsi dalam menghias taman, selain menjadi penyudah dalam gubahan taman untuk kelihatan lebih semula jadi dan bersahaja, batu juga boleh disusun untuk membina kolam serta air terjun.

    Selain itu, batu yang diletakkan dalam kolam pula boleh menyejukkan air sekali gus menenangkan mata memandang. Terdapat pelbagai saiz batu boleh digunakan, bergantung saiz taman yang ingin dicipta pemiliknya.

    Ada pelbagai jenis batu sungai semula jadi, buatan daripada simen ferro atau batu yang berasal dari gunung berapi boleh digunakan untuk taman. Namun, ada juga batu boleh diperoleh secara percuma di sekitar rumah.

    Terdapat juga bahan ornamen atau hiasan taman yang diukir daripada batu untuk menyerikan taman seperti set kerusi taman, pasu atau bekas tanaman, ukiran atau arca batu dan tidak ketinggalan juga jubin hiasan dinding kolam serta kediaman.

    Batu dengan sifatnya yang kuat, teguh, serta tahan lama akan terus kekal popular sebagai elemen hiasan taman sejak dulu hingga sekarang dan pada masa akan datang.

    Bagi mendapatkan idea mengenai kaedah hiasan taman, boleh berkunjung ke pusat tanaman yang menyediakan contoh taman dengan elemen batu untuk diaplikasikan sendiri di rumah atau mengupah pakar melakukannya.

    LANSKAP TAMAN MEMBERI KETENANGAN JIWA DAN MINDA

    Laman lanskap yang menenangkan jiwa dan minda
    LAMAN di kawasan kediaman seharusnya menjadi kawasan terapi dan pemulihan yang terbaik bagi setiap pemilik kediaman. Oleh itu, pembentukan ruang harus diberi perhatian teliti kerana ia sangat mempengaruhi penggunanya.

    Mereka bentuk ruang terapi memerlukan sensitiviti pereka terhadap keperluan pengguna. Ruang berkenaan seharusnya mampu memberikan ketenangan kepada mereka yang inginkan ketenangan.

    Bagi mewujudkan laman yang boleh digunakan untuk bermeditasi ataupun melupakan tekanan untuk mereka yang menghabiskan banyak masa di pejabat, satu ruang terlindung dan perabot taman bersesuaian boleh diwujudkan di sudut laman kediaman.

    Pembinaan ruang bertentangan sifat iaitu aktif dan pasif sangat sesuai bagi mereka yang menjalani program terapi fizikal. Tujuan memisahkan kedua-dua ruang berkenaan untuk memenuhi keperluan sangat perlu.

    Ruang di laman terapi juga harus berdasarkan objektif pembentukan laman. Mewujudkan air pancutan atau tanaman menarik pelbagai warna adalah hadiah istimewa bagi mereka yang memerlukan terapi.

    Selain itu, mewujudkan ruang yang mempunyai persamaan dengan tempat lain pernah dilawati mampu merangsang minda kanak-kanak sekali gus meningkatkan keupayaan kemahiran mengingat mereka.

    Sentiasa pastikan kita memahami jenis ruang yang mampu memberikan impak positif kerana ia akan membantu pembentukan laman terapi terutama kawasan kediaman di bandar besar.

    Apabila mereka bentuk ruang, jadikan ia sesuatu yang boleh diekplorasi dengan sedikit elemen misteri tetapi tidak keterlaluan kerana dikhuatiri menjadikan laman tidak mesra dan sukar difahami.

    Kesimpulannya, kaedah terbaik mereka bentuk ruang di laman terapi adalah memahami bagaimana seseorang itu akan bergerak dari satu ruang ke ruang lain dan berupaya menjadi terapi bagi mental dan fizikal setiap penggunanya.