Tuesday, 20 March 2012

LANSKAP TAMAN MEMBERI KETENANGAN JIWA DAN MINDA

Laman lanskap yang menenangkan jiwa dan minda
LAMAN di kawasan kediaman seharusnya menjadi kawasan terapi dan pemulihan yang terbaik bagi setiap pemilik kediaman. Oleh itu, pembentukan ruang harus diberi perhatian teliti kerana ia sangat mempengaruhi penggunanya.

Mereka bentuk ruang terapi memerlukan sensitiviti pereka terhadap keperluan pengguna. Ruang berkenaan seharusnya mampu memberikan ketenangan kepada mereka yang inginkan ketenangan.

Bagi mewujudkan laman yang boleh digunakan untuk bermeditasi ataupun melupakan tekanan untuk mereka yang menghabiskan banyak masa di pejabat, satu ruang terlindung dan perabot taman bersesuaian boleh diwujudkan di sudut laman kediaman.

Pembinaan ruang bertentangan sifat iaitu aktif dan pasif sangat sesuai bagi mereka yang menjalani program terapi fizikal. Tujuan memisahkan kedua-dua ruang berkenaan untuk memenuhi keperluan sangat perlu.

Ruang di laman terapi juga harus berdasarkan objektif pembentukan laman. Mewujudkan air pancutan atau tanaman menarik pelbagai warna adalah hadiah istimewa bagi mereka yang memerlukan terapi.

Selain itu, mewujudkan ruang yang mempunyai persamaan dengan tempat lain pernah dilawati mampu merangsang minda kanak-kanak sekali gus meningkatkan keupayaan kemahiran mengingat mereka.

Sentiasa pastikan kita memahami jenis ruang yang mampu memberikan impak positif kerana ia akan membantu pembentukan laman terapi terutama kawasan kediaman di bandar besar.

Apabila mereka bentuk ruang, jadikan ia sesuatu yang boleh diekplorasi dengan sedikit elemen misteri tetapi tidak keterlaluan kerana dikhuatiri menjadikan laman tidak mesra dan sukar difahami.

Kesimpulannya, kaedah terbaik mereka bentuk ruang di laman terapi adalah memahami bagaimana seseorang itu akan bergerak dari satu ruang ke ruang lain dan berupaya menjadi terapi bagi mental dan fizikal setiap penggunanya.

No comments:

Post a Comment