MEMILIKI kediaman dengan laman yang sempit atau terhad sebenarnya
tidak membataskan kerja menghias. Jika ada kreativiti, ruang yang sempit
dapat dihiasi sesuai konsep dikehendaki pemilik kediaman.
Meletakkan landskap kejur di ruang terhad juga perlu diberikan
perhatian. Antara landskap kejur yang biasa digunakan adalah pancuran
air dan kolam mini buatan.
Jika mahu menampilkan kelainan, cuba letakkan anak sungai buatan di
laman yang dibina menggunakan konkrit. Bagi memudahkan kerja membina
anak sungai buatan, lantik saja kontraktor landskap.
Namun, jika mahu mencuba sendiri membina anak sungai buatan, gunakan
kreativiti supaya apa yang dihasilkan nampak semula jadi dan hidup.
Penentuan lokasi perlu sesuai dan mengambil kira arah aliran air,
cahaya matahari dan kesesuaian tanah. Punca air juga perlu di ambil
kira.
Sebelum membina aliran air berkenaan, tentukan dulu kawasan dan
lokasinya. Selepas itu, lakarkan bentuk landskap yang bakal dibina
sebagai panduan.
Kemudian, kerja membina anak sungai boleh diteruskan dengan
membersihkan dulu kawasan laman termasuk membuang batu, akar kayu dan
benda asing dalam tanah. Selepas itu korek tanah seperti bentuk parit
sebelum kerja menyimen dilakukan bagi membina aliran anak sungai.
Seeloknya bina satu kolam yang sedikit dalam untuk meletakkan pam air.
Selepas kerja membina anak sungai konkrit siap, tiba masa meletakkan
landskap lembut untuk menghidupkan suasana. Selain batu granit, sungai
dan kerikil diletakkan di kiri kanan aliran air, tanam pokok yang tahan
dengan kawasan lembap seperti iris, pandan, spesies caladium dan
calathea.
Beberapa spesies paku pakis yang juga boleh ditanam berhampiran
aliran air yang sesuai untuk mencantikkan lagi anak sungai buatan
berkenaan.
Tumbuhan juga sesuai ditanam dalam kolam seperti Cyperus papyrus ,
cat tail atau ekor kucing dan keladi bunting bagi menyerlahkan lagi anak
sungai berkenaan.
Apa yang penting, pastikan aliran dan pam air yang digunakan
berfungsi dengan baik. Pastikan air sentiasa mengalir menyerupai sungai
sebenarnya.
Bagi menutup kecacatan aliran air, letakkan batu sungai dan kerikil
manakala batu granit disusun selerak dan bertingkat bagi menampakkan
suasana seakan benar-benar dan semula jadi.
Di dalam kolam diletakkan pasir yang antara lain dapat berfungsi
menjadi penuras air supaya air sentiasa jernih. Bagi mencantikkan lagi
kolam, letakkan anak ikan seperti ikan emas dan koi.
FAKTA: Batu untuk anak sungai buatan
# Selain membeli batu sungai dan kerikil daripada kedai landskap,
anda boleh mengutip batu di sungai atau tepi jalan. Sebelum dijadikan
hiasan replika anak sungai, basuh dulu batu dengan air biasa atau sabun.
Tidak perlu gosok batu terlalu kuat cukup sekadar mengelap saja.
# Bahagikan batu kepada tiga kelompok batu utama iaitu igneus, batu mendapan dan metamorfosis. Batu Igneus
tidak mempunyai banyak lapisan atau tidak bertekstur dan biasanya
berwarna putih, hitam dan kelabu. Batu mendapan pula berlapis kasar dan
berwarna coklat keperangan manakala metamorfosis berwarna lebih cerah
dan lapisan nipis.
# Kaedah Simenferro, sejenis struktur binaan yang terdiri daripada
campuran pasir, simen dan air yang dilepa nipis pada jejaring dawai
keluli boleh digunakan bagi membentuk replika anak sungai.
# Simenferro - Mudah dibentuk, tahan jika terdedah kepada hujan dan
panas, kukuh dan mudah dibaiki, tidak memerlukan teknologi tinggi dan
kos penyelenggaraan rendah
# Simenferro banyak digunakan untuk pembinaan perumahan/pembangunan
seperti dinding dan atap, kolam ikan dan pintu kawalan air. Dalam
landskap ia banyak digunakan bagi pembinaan hiasan seperti cendawan,
batu tiruan dan kerusi meja.
No comments:
Post a Comment