BUNGANYA cantik berwarna putih dengan lima kelopak, tidak ubah
seperti labah-labah putih hinggap di celah dahan pepohon. Tidak
hairanlah, kehadirannya pasti menarik tumpuan mata tetamu yang
berkunjung di laman kediaman.
Inilah tarikan bunga Bakung atau lebih dikenali sebagai ‘spider lily’
atau nama saintifiknya Hymenocallis littoralis daripada keluarga
Amaryllidaceae.
Pokok ini banyak dijumpai di kawasan tropika dan sub tropika,
termasuk di Malaysia dan ada kira-kira 50 spesies pokok ini di dunia.
Pokok bebawang yang menjadi herba sejak berkurun lamanya ini
mempunyai bunga unik kerana ada lingkaran di tengah-tengah (corona) yang
jarang ditemui pada spesies sama.
Hymenocallis bermaksud ‘membran cantik’ dalam bahasa Greek, merujuk
kepada lingkaran di tengah bunga berkenaan yang bersambung dengan
tangkai bunga yang mengeluarkan debunga yang dikategorikan sebagai
tanaman menakjubkan.
Spider lily atau bakung lebih sesuai untuk menghiasi taman air atau
tumbuhan hiasan dalam pasu. Walaupun dikenali sebagai lily labah-labah,
amun bunga ini lebih kepada tumbuhan dafodil berbanding tumbuhan lili.
Pokok ini mudah di tanah tetapi memerlukan cuaca yang panas dan tanah
sedikit lembap tetapi bukannya terendam di dalam air. Daunnya kekal
berwarna hijau walaupun selepas bunganya gugur.
Menariknya, tumbuhan mudah hidup ini sukakan suhu bilik, lembap dan
panas dan memerlukan masa tiga bulan untuk tidak berbunga yang dikenali
sebagai tempoh berehat.
Oleh kerana tumbuhan ini sukakan keadaan yang lembap, ia memerlukan
air yang banyak jika anda menyiramnya. Juga, jangan biarkan tanah di
sekelilingnya kering kerana ini boleh menyebabkannya mati.
Bunga ini lazimnya mudah dikesan jika ia tidak subur kerana daunnya
akan menjadi kering seakan terbakar. Bagaimanapun, ia lebih dikenali
sebagai tumbuhan tahan lasak kerana bakung tidak mengalami masalah
jangkitan penyakit atau serangan serangga.
Namun, siput, ulat bulu dan hama putih sering hinggap di pepohon ini
tetapi tidak merosakkan tanaman. Satu lagi ciri menarik pada pokok ini
kerana tidak perlu dipangkas seperti pepohon lain untuk menggalakkan
pertumbuhan daun. Ringkasnya, bunga bakung ini tidak perlukan
penyelenggaraan seperti tumbuhan laman lain yang perlu selalu
dibersihkan.
Hymenocallis boleh membesar sehingga tiga kaki (0.91 meter) dan
biasanya perlu dibaja sebulan sekali dengan baja seimbang dan biasanya
tumbuhan ini dipilih sebagai tanaman pemisah sempadan atau ditanam
berbaris di kiri kanan jalan masuk ke laman.
Dalam perubatan tradisional, tumbuhan ini dikatakan menjadi herba
merawat luka tetapi ia tidak boleh dimakan kerana dikatakan beracun.
No comments:
Post a Comment